20,000 Pelancong Malaysia Menyumbang 100 Juta Baht ke Ekonomi Selatan Thailand

Antara kawasan tumpuan pelancong Malaysia ialah di Pantai Samila, Bandar Lama Songkhla dan Pasar Terapung Khlong Hae di Wilayah Songkhla. - Bernama
Antara kawasan tumpuan pelancong Malaysia ialah di Pantai Samila, Bandar Lama Songkhla dan Pasar Terapung Khlong Hae di Wilayah Songkhla. – Bernama

PATTANI: Sekitar 20,000 pelancong dari Malaysia telah mengunjungi Wilayah Selatan Thailand baru-baru ini, menyumbang lebih daripada 100 juta Baht (100 Baht = RM12.71) kepada ekonomi tempatan sempena cuti panjang Hari Kebangsaan yang lalu.

Kebanyakan pelancong Malaysia dilaporkan menggunakan pintu masuk Bukit Kayu Hitam dan Pengkalan Hulu untuk menuju ke kawasan Sadao dan Betong di Thailand.

Pengarah Pejabat Pelancongan dan Sukan Songkhla, Wilawan Pobunsong, memberitahu bahawa jumlah pelancong Malaysia yang memasuki wilayah selatan Thailand amat memberangsangkan, terutamanya semasa cuti umum atau cuti sekolah di Malaysia.

“Secara keseluruhan, sekitar 20,000 pelancong Malaysia telah bercuti di wilayah selatan Thailand pada hujung minggu lalu, iaitu Jumaat, Sabtu, dan Ahad. Antara destinasi popular adalah Pantai Samila, Bandar Lama Songkhla, dan Pasar Terapung Khlong Hae di Wilayah Songkhla,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama pada Isnin (2 September).

Wilawan juga menyebut bahawa selama tiga hari tersebut, pelancong Malaysia telah menyumbang kira-kira 100 juta Baht kepada sektor ekonomi tempatan.

Baca Juga:

Ketua Jabatan Kastam Betong, Praornrat Rattanspornsomporn, menyatakan bahawa dari Jumaat hingga Ahad lalu, antara 4,000 hingga 5,000 pelancong Malaysia telah memasuki pintu Betong.

“Kemasukan pelancong Malaysia sering meningkat semasa cuti umum, dan kebanyakan tempat penginapan di Betong hampir penuh dengan tempahan mencecah 95 peratus,” tambahnya.

Thailand telah menerima kedatangan sebanyak 17.5 juta pelancong asing dan memperoleh pendapatan sekitar 825.541 bilion Baht (RM106.22 bilion) bagi separuh pertama tahun ini. Menurut statistik Kementerian Pelancongan dan Sukan, dari Januari hingga Jun tahun ini, pelancong dari China adalah yang terbanyak dengan 3.43 juta, diikuti oleh Malaysia (2.43 juta) dan India (1.04 juta).

Sumber : AstroAwani

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *