TELUK INTAN – Polis memohon kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak April lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata laporan mengenai kehilangan Nur Asyikin Abd Rahim, 29, diterima pada 1 Ogos lalu, dibuat oleh ibunya.
Menurut beliau, lokasi terakhir wanita tersebut dilihat adalah ketika dia keluar dari rumahnya di Kebun Limau, Kampung Bahagia, Teluk Intan.
“Wanita ini telah meninggalkan rumah ibunya di Teluk Intan dan tidak dapat dihubungi sejak bulan April. Dia memaklumkan kepada keluarganya bahawa dia akan pergi ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ahmad Adnan juga menyatakan bahawa ibu wanita berkenaan memaklumkan tiada sebarang perselisihan faham berlaku antara mereka atau ahli keluarga lain.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita tersebut untuk tampil ke balai polis berhampiran. Orang ramai juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di talian 05-6299222.
Artikel Berkaitan:
- Pesawat Malaysia Airlines Bawa Jemaah Terpaksa Patah Balik Selepas Dua Jam Dalam Perjalanan
- Siri ‘Squid Game 2’ Bakal Dilancarkan pada 26 Disember
Dalam perkembangan lain, Ahmad Adnan turut memaklumkan bahawa seorang remaja, GM Praveen Raj, 18, yang dilaporkan hilang sejak 18 Julai lalu, telah ditemui dalam keadaan selamat.
Menurutnya, sepanjang tempoh kehilangan, remaja tersebut berada di rumah rakannya di Teluk Intan dan tindakannya itu adalah disebabkan dia merajuk dengan ibunya.
Sumber : Sinar Harian