KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, menerima ganjaran sebanyak RM125,000 setiap seorang daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai penghargaan atas pencapaian mereka meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini.
Jumlah ganjaran ini dua kali ganda lebih tinggi berbanding RM120,000 yang diterima mereka ketika memenangi pingat gangsa di Tokyo 2020 yang dibahagikan antara dua orang. Aaron menyatakan bahawa mereka amat menghargai sokongan dan jasa BAM serta presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, sepanjang perjalanan mereka mewakili negara.
“Kami sangat berterima kasih kepada BAM atas sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang perjuangan kami dan atas ganjaran yang diterima hari ini. Terima kasih khas kepada Tan Sri Norza, yang sentiasa menyokong kami tidak kira dalam keadaan senang atau susah. Beliau telah membantu kami seperti seorang rakan niaga,” ujar Aaron kepada pemberita selepas menerima ganjaran di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.
Baca Juga:
Selangor Cipta Sejarah, Sukma Futsal Gold 2024 Milik Mereka
Aaron juga berharap ganjaran ini akan memberikan motivasi tambahan kepada mereka untuk terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Selain itu, barisan kejurulatihan dan staf sokongan BAM turut menerima rangsangan berjumlah RM60,000 daripada badan induk tersebut sebagai pengiktirafan atas kecemerlangan Aaron dan Wooi Yik. Pada Sukan Olimpik Paris 2024, beregu nombor tiga dunia itu berjaya mempertahankan pingat gangsa selepas menewaskan pasangan Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen, dengan keputusan 16-21, 22-20, 21-19. Dalam aksi perseorangan, Zii Jia turut meraih pingat gangsa setelah mengalahkan Lashya Sen dari India dengan keputusan 13-21, 21-16, 21-11.
Semalam, Juara Dunia 2022, Zii Jia, telah menandatangani kontrak untuk terus berada di bawah naungan BAM sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).
Sumber : Astroawani