KUALA LUMPUR – Keluarga G Vijaya Lakshmi, seorang rakyat India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Masjid India dua minggu lalu, telah menerima sumbangan sebanyak RM30,000 daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sumbangan tersebut diberikan sebelum mereka berlepas pulang ke tanah air pada 1 September lalu.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, mengesahkan kepada Astro AWANI bahawa wang tersebut diserahkan secara tunai kepada keluarga mangsa sehari selepas keputusan kerajaan untuk menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Ini bukanlah pampasan, tetapi sumbangan ihsan dari DBKL kepada keluarga mangsa,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, turut mengesahkan bahawa sumbangan dari DBKL dan pihak korporat telah diberikan kepada mangsa. Beliau juga menyebut bahawa cadangan untuk memberikan pampasan kepada keluarga mangsa akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Dr Zaliha Mustafa menambah, kerajaan akan mempertimbangkan pemberian pampasan kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tanah jerlus tersebut.
Baca Juga:
Malaysia dan Rusia Desak Israel Henti Serangan ke Gaza
Pada 23 Ogos, Vijaya Lakshmi, wanita berusia 48 tahun dari Kuppam, Andhra Pradesh, India, dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.
Selepas sembilan hari operasi SAR, yang bermula pada 23 Ogos, kerajaan memutuskan untuk menghentikan operasi tersebut selepas mendapatkan pandangan pakar dan mempertimbangkan beberapa faktor, termasuk keselamatan anggota SAR serta kejadian tanah jerlus susulan yang berlaku baru-baru ini.
Sumber: Astroawani