MUAR: Seorang lelaki berusia 48 tahun, Azman Mohamed Nor, telah dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan denda RM5,000 di Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang anak saudaranya. Tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada anak saudaranya yang berusia 14 tahun dengan menggunakan sebatang kayu yang boleh mengakibatkan kematian jika digunakan sebagai senjata.
Kesalahan itu berlaku antara pukul 1 pagi hingga 3 pagi pada 9 Ogos 2024 di rumah mereka yang terletak di No.33, Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan, Muar. Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, serta denda atau sebat.
Fakta kes menunjukkan bahawa mangsa bersama adik perempuannya yang berusia 11 tahun telah mencari tertuduh di belakang rumah selepas melihat kediaman mereka terbakar. Tertuduh yang memegang sebatang kayu tiba-tiba menyerang mereka. Mangsa sempat melarikan diri dan bersembunyi di belakang timbunan pasir di rumah jirannya, namun mengalami kecederaan parah pada kepala dan tangan kanannya.
Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Arif Marzuki, memohon hukuman yang setimpal dengan mengambil kira hubungan mangsa dengan tertuduh serta seriusnya kecederaan yang dialami. Beliau juga menyatakan bahawa perbuatan tertuduh mendapat perhatian umum dan hukuman yang sesuai perlu diberikan sebagai pengajaran.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu untuk hukuman yang lebih ringan dengan alasan bahawa dia telah insaf dan menyesal atas perbuatannya. Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun mulai tarikh jatuh hukum dan denda RM5,000, dengan penjara lima bulan sebagai alternatif jika denda tidak dibayar.
Baca Juga:
Anak Temui Rangka Ayah di Pangsapuri Kepong
Pada 20 Ogos lalu, Azman turut didakwa di Mahkamah Majistret Muar atas pertuduhan membunuh ibu bapanya, Ara Ab. Hamit, 76, dan Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, serta anak saudaranya, Noradriana Nor Hasyim, 11, pada masa dan tarikh yang sama. Pertuduhan itu dikenakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang dari 12 sebatan jika hukuman mati tidak dijatuhkan.
Sumber: Bernama