KUALA LUMPUR: Pasukan perubatan peribadi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memberikan rawatan kecemasan kepada dua penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Sultan Ismail hari ini.
Dalam satu perkongsian di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dilaporkan bahawa seorang doktor pakar perubatan kecemasan bersama anggota paramedik dan juruteknik perubatan kecemasan sedang dalam perjalanan mengiringi Seri Paduka Baginda ketika kejadian itu berlaku.
“Setelah menyaksikan kemalangan tersebut, doktor dan pasukan perubatan segera memberikan rawatan kepada kedua-dua mangsa. Salah seorang daripada mereka kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut menggunakan ambulans peribadi Seri Paduka Baginda,” menurut kenyataan tersebut.
Baca Juga:
- Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ahmad Mohd Don, Meninggal Dunia
- 20,000 Pelancong Malaysia Menyumbang 100 Juta Baht ke Ekonomi Selatan Thailand
Kenyataan itu juga menyatakan bahawa ambulans milik Sultan Ibrahim dilengkapi dengan pelbagai peralatan klinikal, termasuk mesin bantuan hayat, mesin bantuan pernafasan, alat defibrilator luaran automatik (AED), serta peralatan untuk merawat luka akibat kebakaran dan kemalangan jalan raya.
Sumber: AstroAwani