Amerika, Israel bincang tindak balas ke atas Iran

Amerika Syarikat akan melakukan koordinasi dengan sekutunya, Israel susulan pelancaran peluru berpandu balistik oleh Iran, kata Miller. - Gambar Reuters
Amerika Syarikat akan melakukan koordinasi dengan sekutunya, Israel susulan pelancaran peluru berpandu balistik oleh Iran, kata Miller. – Gambar Reuters

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan bekerjasama rapat dengan sekutu utamanya, Israel, susulan pelancaran peluru berpandu balistik oleh Iran pada malam Selasa. Langkah ini akan diketuai oleh Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan, yang akan mengadakan perbincangan mendalam bersama pihak Israel untuk menentukan tindak balas terhadap serangan tersebut.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller, mengesahkan bahawa serangan peluru berpandu Iran terhadap Israel telah meningkatkan ketegangan dengan ketara, dan menegaskan bahawa tindakan tersebut pasti akan menerima balasan yang sewajarnya.

“Mesti ada akibat terhadap serangan yang dilakukan oleh Iran. Kami telah nyatakan bahawa setiap tindakan akan ada balasannya. Namun, buat masa ini saya tidak dapat menyatakan apa langkah seterusnya, tetapi kami akan menyelaraskan tindak balas ini bersama sekutu Israel kami,” ujar Miller semasa sesi taklimat media pada Selasa.

Beliau turut menambah bahawa sebahagian daripada serangan peluru berpandu tersebut berjaya dipatahkan hasil penyelarasan antara AS, Israel, dan beberapa negara sekutu lain. Namun, Miller tidak menyebut dengan jelas negara-negara lain yang terlibat dalam usaha tersebut.

Apabila ditanya sama ada tindakan Israel baru-baru ini telah mencetuskan ketegangan, Miller menyatakan bahawa “Israel pastinya telah melakukan sesuatu yang berpotensi melebarkan konflik.” Namun, beliau mempertahankan tindakan Israel dengan menyifatkannya sebagai langkah untuk “membawa pengganas ke muka pengadilan.”

Pada Jumaat lalu, Israel melancarkan serangan di Beirut yang mengakibatkan kematian pemimpin kanan Hezbollah, Hassan Nasrallah. Miller mendakwa tindakan Iran pada hari ini adalah untuk mempertahankan organisasi yang didokongnya.

“Jika kita lihat tindakan Iran hari ini, ia adalah bukti jelas tentang ancaman yang telah lama kita bicarakan. Iran terus membekalkan senjata dan membiayai kumpulan pejuangnya di seluruh Asia Barat. Serangan ini hanya menonjolkan bahaya tindakan tersebut,” kata Miller.

“Iran kini melancarkan serangan bagi melindungi kumpulan yang mereka bina, sokong, dan kawal. Jadi, terdapat perbezaan yang jelas di sini,” tambahnya.

Baca Juga:

Miller juga menyatakan bahawa “gelombang serangan ini telah berakhir,” tetapi tidak menolak kemungkinan akan ada gelombang serangan baharu pada masa akan datang, sekiranya Iran meneruskan tindakan agresifnya terhadap Israel.

“Gelombang serangan mungkin akan meningkat lagi jika Iran meneruskan serangan di Israel,” katanya mengakhiri kenyataan tersebut. – Agensi

Sumber: AstroAwani

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *