JAKARTA: Prabowo Subianto yang bakal mengambil alih jawatan Presiden Indonesia berjanji untuk menangani isu berlarutan mengenai gaji dan kebajikan hakim yang tidak stabil di tengah-tengah mogok di seluruh negara yang mendesak kenaikan gaji.
Ikrar Prabowo ialah menambah baik gaji dan faedah golongan berkenaan dalam usaha membendung gejala rasuah di Indonesia.
“Hakim mesti berakhlak mulia dan kerajaan perlu menyediakan pendapatan yang mencukupi supaya mereka dapat menjaga maruah. Mereka tidak perlu mencari pendapatan tambahan, itu adalah komitmen saya,” kata Prabowo, memetik laporan media tempatan.
Pemimpin berusia 72 tahun itu berkata demikian semasa bercakap melalui telefon dengan Timbalan Speaker Dewan Rakyat (DPR), Sufmi Dasco Ahmad pada Selasa lalu.
Beliau yang kini Menteri Pertahanan dalam Kabinet pemerintahan Joko Widodo (Jokowi) menegaskan, hakim yang kebal terhadap rasuah adalah kunci untuk membasmi rasuah di negara ini.
“Kunci negara makmur yang bebas rasuah ialah hakim yang tidak boleh disogok. Mereka mesti kuat dan kita mesti memberi mereka syarat yang terbaik, itu janji saya,” tegasnya.
Panggilan telefon Prabowo dengan Dasco diadakan semasa pertemuan antara Dewan Perwakilan Rakyat dan Kesatuan Hakim Indonesia (SHI) di Kompleks Parlimen di Senayan, Jakarta.
Dewan Rakyat ditugaskan untuk merangka undang-undang baharu, meluluskan belanjawan negara dan menyelia cabang eksekutif.
Dalam pertemuan itu, pelbagai hakim menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kurangnya perhatian terhadap kebajikan mereka.
Baca Juga:
- Menteri Israel ke AS bincang persiapan serang Iran
- ASEAN perlu wujudkan tawaran unik untuk jadi blok keempat ekonomi global
Penyelaras SHI, Rangga Lukita Desnata misalnya, menekankan bahawa gaji hakim tidak berubah sejak 2012 dan menyebutnya sebagai tidak adil.
“Kami meminta gaji yang adil dan berpatutan kerana hakim memikul tanggungjawab yang besar,” tambahnya.
Rangga turut memberi penekanan gaji hakim sebetulnya lebih rendah daripada mereka yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam lain sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam badan kehakiman.
Gaji asas bulanan untuk hakim tahun pertama ialah 2 juta rupiah (RM546), dengan elaun yang besar, menjadikan jumlah pendapatan mereka kepada kira-kira 16.6 juta rupiah (RM4,531.80) sebulan.
Menurut platform data Statista, purata gaji bulanan bersih di Indonesia adalah sekitar 3 juta rupiah (RM819).
Seorang lagi hakim membangkitkan bagaimana dia tidak dapat pulang ke rumah untuk menghadiri pengebumian ibunya, kerana masalah kewangan.
“Pada 2020, saya menghidap COVID-19 dan saya juga menerima berita bahawa ibu saya telah meninggal dunia tetapi saya tidak dapat menghadiri pengebumian kerana keadaan kewangan saya,” katanya sambil menahan sebak, lapor platform media tempatan Kumparan. .
Menurut Jakarta Globe, Indonesia mempunyai kira-kira 7,700 hakim di peringkat daerah, wilayah dan nasional.
Semasa panggilan itu, Dasco mendekatkan telefon bimbitnya ke mikrofon untuk memastikan suara Prabowo dapat didengari dengan jelas oleh para hakim, lapor platform media tempatan Kompas.com.
Berucap kepada hakim, Prabowo mengulangi bahawa beliau telah lama memberi perhatian kepada kebajikan hakim di negara ini.
“Saya sentiasa memberi perhatian yang besar kepada para hakim,” katanya sambil menambah bahawa dia juga berharap dapat melakukan pertemuan secara bersemuka dengan mereka.
Kompas melaporkan, hakim menjawab panggilan telefon itu dengan memberi tepukan gemuruh. Ada yang dilaporkan kelihatan terharu sehingga sebak.
“Ini bukan janji, kempen (Presiden) sudah berakhir jadi saya tidak perlu berjanji apa-apa. Ini adalah komitmen saya, jadi saya menyeru kepada anda semua (hakim) supaya bersabar buat sementara waktu.
“Sebaik sahaja saya secara rasmi mengambil alih dan memulakan peranan saya, saya akan benar-benar memberi perhatian kepada para hakim,” kata Prabowo seperti dilaporkan saluran berita tempatan, Detiknews.
“Kita mesti bersatu, dengan yang kuat menyokong yang lemah untuk memastikan negara kita makmur bersama. Saya terkejut dengan keadaan anda tetapi saya sudah merancang bagaimana untuk memperbaikinya,” katanya meyakinkan para hakim sambil menekankan kepentingan perpaduan.
Prabowo akan mengangkat sumpah sebagai Presiden pada 20 Oktober ini, bersama-sama anak Presiden Jokowi, Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden.
Ribuan hakim menyertai mogok di seluruh negara yang bermula pada Isnin mendesak kenaikan gaji sebanyak 142 peratus, memetik inflasi dan peningkatan kos sara hidup.
Mahkamah Agung bagaimanapun berkata, ia bukan mogok rasmi kerana ia hanya “cuti yang diselaraskan” oleh anggota SHI.
Sebagai maklum balas pada mogok berkenaan, Jokowi telah mengesahkan isu itu kini dalam semakan oleh tiga kementerian – Kementerian Pembaharuan Birokrasi, Kementerian Undang-undang dan Kementerian Hak Asasi Manusia dan Kementerian Kewangan.
“Semua ini masih dikaji dan dikira oleh kementerian terbabit. Proses penilaian sedang berjalan,” kata Jokowi dalam ucapan di Sidang Kemuncak Harian Investor BNI 2024 di Jakarta pada Selasa. – AstroAwani
Korang suka main game online? Aku jumpa satu website power gila, banyak bonus dan jackpot besar.
Jom try sini: https://rjb88.com/. Confirm puas hati!