Syria Memasuki Era Baharu: Bashar al-Assad Digulingkan

Orang ramai berjalan di Damascus, Syria pada Selasa. Foto Xinhua
Orang ramai berjalan di Damascus, Syria pada Selasa. Foto Xinhua

Kejatuhan Presiden Bashar al-Assad menandakan berakhirnya dinasti autoritarian yang bermula sejak pentadbiran bapanya, Hafez al-Assad, di bawah Parti Baath sejak tahun 1971. Selepas lebih lima dekad, kumpulan puak Sunni yang dikenali sebagai Hayat Tahrir al-Sham (HTS) akhirnya berjaya menggulingkan Assad, seorang pengikut Syiah (Alawi), dan kini mengambil alih pemerintahan di Syria.

Situasi terkini ini telah membawa perubahan besar dalam geopolitik Asia Barat yang sudah sedia bergolak, ditambah pula dengan konflik berterusan di Gaza dan ketidakstabilan gencatan senjata di Lubnan. Namun begitu, persoalan utama kekal: Adakah Damsyik benar-benar menuju ke arah keamanan yang berkekalan, atau adakah risiko perebutan kuasa dalam kalangan puak pemberontak masih menghantui masa depan negara itu?

Kawasan Terkawal Pemberontak

Beberapa puak pemberontak utama kini menguasai bahagian-bahagian tertentu di Syria. Pasukan Demokratik Syria (SDF), yang disokong Amerika Syarikat (AS), mengawal wilayah timur dan kini menguasai sepenuhnya bandar Deir el-Zour selepas tentera rejim Bashar berundur.

Di utara, kawasan sepanjang sempadan Turkiye dikawal oleh Tentera Kebangsaan Syria (SNA), sebuah militia yang mendapat sokongan Ankara. SNA dijangka menjadi pemain penting dalam menentukan hala tuju masa depan negara itu.

Sementara itu, di kawasan gurun tandus di timur Syria, sel-sel kecil anggota Daesh dilaporkan masih wujud. Kehadiran mereka menimbulkan kebimbangan, terutamanya selepas penggulingan Assad yang mungkin dilihat sebagai peluang untuk melancarkan pemberontakan baharu.

Ancaman Daesh dan Pendekatan HTS

Melalui akhbar rasmi mereka, al-Nakba, Daesh dengan lantang menolak kerajaan baharu di Damsyik dan menyatakan hasrat untuk memegang tampuk kuasa. Namun, pendekatan sederhana yang diambil pemimpin HTS, Abu Mohammed al-Jolani, telah membantu menenangkan situasi. Jolani berjaya meraih kepercayaan pelbagai pihak dengan memastikan peralihan kuasa berlangsung tanpa keganasan melampau.

Harapan Rakyat Syria

Walaupun negara itu masih bergelut dengan ketidakstabilan, termasuk serangan udara bertalu-talu Israel ke atas infrastruktur tentera sejak akhir minggu lalu, rakyat Syria kini mampu menarik nafas lega. Mereka tidak lagi hidup dalam cengkaman rejim Assad yang terkenal dengan kezaliman dan penindasan selama 24 tahun.

Namun, perjalanan menuju keamanan dan kestabilan masih jauh. Dunia terus memerhatikan langkah-langkah seterusnya yang diambil kerajaan baharu untuk membina semula sebuah Syria yang bebas dan demokratik.

1 Comment

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *