KAHERAH – Pihak berkuasa Mesir melaporkan bahawa empat mayat ditemukan manakala 31 orang berjaya diselamatkan selepas sebuah bot pelancong karam di pantai Laut Merah berhampiran Marsa Alam pada awal pagi Isnin.
Bot yang membawa 44 penumpang itu, termasuk 31 warga asing, karam ketika pelayaran untuk aktiviti menyelam. Menurut laporan, isyarat kecemasan diterima pada pukul 5.30 pagi waktu tempatan.
“Sebanyak 31 orang telah diselamatkan setakat ini dan empat mayat ditemukan,” kata Gabenor Laut Merah, Amr Hanafi, dalam kenyataan.
Antara mangsa yang diselamatkan ialah dua warga Belgium. Namun, kewarganegaraan empat mangsa yang terkorban masih belum diumumkan.
Amr turut memaklumkan bahawa usaha mencari sembilan lagi mangsa yang hilang sedang diteruskan.
Penumpang bot termasuk warga asing dari Amerika Syarikat, Jerman, United Kingdom, Poland, Belgium, Switzerland, Finland, China, Slovakia, Sepanyol, dan Ireland.
Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan punca kejadian tragis ini.
Laut Merah, terkenal dengan terumbu karang dan kehidupan marinnya, kekal sebagai destinasi menyelam popular bagi pelancong di Mesir.
-SinarHarian