GENTING GAZA – Hamas, gerakan penentangan yang berpusat di Genting Gaza, berikrar untuk menuntut bela atas kematian Ketua Biro Politik, Ismail Haniyeh, di ibu kota Iran, di tengah-tengah konflik yang semakin memuncak di Asia Barat, yang menimbulkan kebimbangan di kalangan komuniti antarabangsa.
“Beliau gugur syahid akibat serangan ganas rejim Zionis. Kami amat terkilan atas pemergian pejuang hak penduduk Palestin, negara Arab dan Islam,” ujar Hamas dalam satu kenyataan pada Rabu.
Anggota Biro Politik Hamas, Mousa Abu Marzook, mengecam pembunuhan Ismail yang disifatkan sebagai ‘tindakan pengecut’ yang tidak akan dibiarkan tanpa balasan.
Jurucakap gerakan tersebut, Sami Abu Zuhri, juga memberi amaran tegas kepada musuh mereka.
“Kami melancarkan perang terbuka demi membebaskan Kota Suci Baitulmaqdis dan sedia menanggung apa jua akibat,” tegasnya.
Kumpulan pejuang lain di Palestin, yang berada di bawah Paksi Penentangan anti-Israel, turut mengecam tindakan melulu rejim Zionis yang bakal menerima akibat dahsyat atas perbuatan mereka.
Pegawai Perhubungan Antarabangsa Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP), gerakan kedua terbesar yang membentuk Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Maher al-Taher, menganggap Ismail sebagai pemimpin yang banyak berkorban untuk merealisasikan tuntutan Palestin.
“Rejim Zionis telah melampaui batas dan sengaja mendorong perang lebih meluas dengan seluruh gerakan di bawah Paksi Penentangan anti-Israel yang sememangnya sudah siap sedia untuk sebarang konfrontasi.
“Musuh akan menyesali perbuatan mereka termasuk menceroboh kedaulatan Iran,” katanya.
Menurutnya lagi, Israel tidak akan dapat melakukan kekejaman itu tanpa ‘perlindungan’ Amerika Syarikat (AS) selaku sekutu kuat Tel Aviv.
Baca Juga : Polis Menyelidik Dakwaan Penggunaan Gelaran Datuk Seri Palsu
Gerakan Jihad Islam, yang berjuang bersama Hamas sejak lebih 10 bulan lalu untuk mempertahankan Gaza, juga mengutuk ‘pembunuhan berdosa’ yang menyasarkan simbol penentangan Palestin.
“Provokasi musuh tidak akan menghalang Palestin daripada terus berada di landasan penentangan dan meneruskan usaha untuk menghentikan jenayah rejim Zionis yang sudah melampaui batas.
“Kami menzahirkan perpaduan dengan pejuang Hamas untuk menentang entiti perampasan,” jelasnya.
Pemergian Ismail di tangan seteru lama mereka juga dianggap sebagai satu kehilangan besar kepada Palestin oleh Timbalan Setiausaha Agung Jihad Islam, Mohammad al-Hindi.
“Rejim Zionis sebenarnya tersilap percaturan jika menyangka mereka berupaya melemahkan gerakan penentangan ini dengan membunuh pemimpin kanan kami,” ujarnya.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, juga senada dengan kumpulan pejuang di wilayah itu yang mengutuk keras pembunuhan Haniyeh dan melihat ia sebagai ‘perkembangan berbahaya’ di rantau tersebut ketika Israel turut memalu gendang perang dan mengancam untuk melancarkan serangan balas terhadap pejuang Hizbullah sejak akhir minggu lalu.
Sumber : sinarharian.com.my