BANGKOK – Rantau Asia Tenggara bakal menyaksikan taburan hujan luar biasa dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Cuaca buruk itu dijangka menjejaskan sektor pertanian, pelancongan dan industri penting lain yang sudah pun terkesan akibat beberapa ribut dahsyat sepanjang 2024.
Peramal kaji cuaca menjangkakan cuaca lembap dari Filipina ke Vietnam berterusan sehingga bulan depan disebabkan fenomena La Nina yang membawa hujan lebat ke Asia Tenggara.
Keadaan cuaca buruk seperti itu bagaimanapun berpotensi menjejaskan usaha pemulihan di Hanoi yang musnah teruk akibat dibadai Taufan Yagi pada bulan lalu.
Sektor pembuatan di negara itu telah berdepan kerugian dianggarkan mencecah 40 trilion dong (RM8 bilion), malah pihak berkuasa memberi amaran kemusnahan dibawa Yagi seperti kilang-kilang, hasil tuaian beras dan kopi ditenggelami banjir akan memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi pada tahun ini.
Sementara itu, Thailand yang bergantung dengan sektor pelancongan berdepan kerugian mencecah 30 bilion baht (RM3.9 bilion) akibat gelombang banjir di wilayah utara termasuk Chiang Mai yang turut memaksa pemindahan kira-kira 100 ekor gajah dari pusat pemuliharaan ke tempat lebih tinggi.
Filipina yang dilanda sekurang-kurangnya sembilan taufan pada setiap tahun juga dibadai beberapa ribut iaitu Gaemi pada Julai, disusuli Yagi pada bulan lalu dan ancaman Krathon pada bulan ini.
“La Nina dijangka ‘mengganas’ bermula Oktober-November 2024 yang akan menjadi faktor mengakibatkan taburan hujan pada kadar luar biasa di beberapa negara di Asia Tenggara,” ujar Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC).
Pada Isnin, Singapura telah mengeluarkan amaran banjir berikutan musim monsun telah membawa ribut petir dan hujan lebat di negara bandar itu.
Agensi cuaca di Manila juga meramalkan sebahagian besar kawasan di negara itu akan mengalami taburan hujan melebihi purata sehingga akhir tahun ini dan 160 peratus melebihi purata pada Januari 2025.
Vietnam pula menjangkakan keadaan sama di bahagian utara yang berorientasikan industri berat dan eksport manakala kawasan tengah yang merupakan satu lagi hab industri penting bakal berdepan lima kejadian banjir sehingga Mac dan ribut tropika luar biasa sehingga April 2025.
IKLIM MAKIN PANAS
Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) meramalkan 60 peratus potensi kemunculan La Nina pada September hingga November tahun ini dan dijangka berterusan Januari-Mac 2025.
Kajian oleh saintis di Amerika Syarikat (AS) dan Singapura mendapati iklim yang semakin panas berpotensi membentuk taufan yang semakin hampir dengan pantai Asia Tenggara.
“Siklon tropika akan menjadi lebih kuat kerana teori asasnya jelas iaitu suhu lautan lebih tinggi. Oleh itu, lautan yang semakin panas meningkatkan pembentukan siklon tropika yang lebih besar.
“Negara seperti Taiwan dan Vietnam antara yang bakal menghadapi lebih banyak taufan,” kata Pengarah Balai Cerap Bumi Singapura, Benjamin Horton yang terlibat penyelidikan itu.
Ancaman sedemikian menyebabkan pemerintah dan pihak berkaitan mula mempertimbangkan cara baharu ‘kalis ribut’ yang lebih efisien.
“Tiada pendekatan pragmatik melainkan pihak berkenaan bertindak dari sekarang,” ujar Pengerusi EuroCham Vietnam, Bruno Jaspaert.
Sebagai contoh, Taman Perindustrian Amata City Ha Long di utara Hanoi yang ditubuhkan pada 2018 yang mempunyai sistem pertahanan banjir canggih.
Amukan Yagi dikatakan hanya memberi impak kecil kepada kilang-kilang di kawasan itu.
“Mujurlah banjir dapat dielakkan di taman kami,”menurut pengendali Amata dalam satu kenyataan.
Kesan dahsyat Yagi mungkin akan menyebabkan pemerintah di Vietnam mengetatkan peraturan bangunan industri kepada struktur kalis ribut yang lebih baik.
“Yagi membuka peluang kepada lebih banyak pelaburan untuk usaha bersepadu tersebut dan mencari jalan penyelesaian lebih efektif bagi melindungi bangunan daripada ancaman bencana,” jelas Jaspaert lagi. –SinarHarian
Looking for a premium gaming platform with exceptional rewards? Explore https://rjb88.com/
and enjoy a world of exciting games, exclusive bonuses
and unparalleled winning opportunities. The perfect choice for discerning players