TEL AVIV – Penilaian terkini dari komuniti risikan Israel menunjukkan bahawa Iran mungkin akan melancarkan serangan balas terhadap rejim Tel Aviv dalam tempoh beberapa hari akan datang, berikutan pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, di Teheran pada akhir bulan lalu.
Menurut laporan Axios pada Isnin, serangan ini dirancang sebagai tindak balas terhadap pembunuhan tersebut dan dijangka dilakukan sebelum rundingan gencatan senjata Gaza yang akan diadakan pada Khamis ini.
Namun, sumber rapat dengan perkhidmatan risikan menyatakan bahawa kesahihan ancaman serangan tersebut masih belum dapat dipastikan.
Sejak minggu lalu, agensi risikan terus berteka-teki mengenai tempoh sebenar operasi tersebut, sementara komuniti antarabangsa menekan pihak-pihak yang bertelagah di Asia Barat agar tidak memperburuk keadaan.
Pada Jumaat lalu, Misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi jaminan bahawa tindak balas yang dirancang oleh Teheran tidak akan mengganggu proses gencatan senjata di Gaza.
Beberapa hari kemudian, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, dilaporkan telah menghubungi Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Lloyd Austin, untuk memaklumkan mengenai potensi serangan balas Iran.
Pada masa yang sama, rejim Tel Aviv juga percaya bahawa ancaman serangan balas dari Hizbullah berikutan pembunuhan komander mereka di Beirut adalah lebih mendesak berbanding ancaman dari Teheran.
“Ia mungkin akan menjadi serangan berskala besar yang lebih dahsyat daripada ‘hukuman tegas’ yang dilancarkan Iran pada bulan April lalu, dengan sasaran termasuk kawasan penempatan awam di tengah Israel,” kata sumber tersebut.
Sepanjang minggu lalu, pentadbiran Presiden Joe Biden semakin aktif dalam usaha untuk mencegah peperangan yang lebih meluas di Asia Barat. Gerakan Hamas, di bawah kepimpinan baharu Yahya Sinwar, menolak undangan untuk menyertai rundingan damai terbaru dan hanya akan menerima perjanjian yang digariskan oleh Biden pada 31 Mei lalu.
Artikel Berkaitan:
- Pembunuhan Cikgu Istiqomah: Bekas Guru dan Teman Lelaki Ditahan
- Empat Individu Direman Atas Dakwaan Rasuah Bernilai RM176,000
Minggu ini akan menjadi penentu perkembangan konflik di Asia Barat, dengan serangan ganas terus berlaku di Gaza tanpa menghiraukan kecaman komuniti antarabangsa.
Sumber : Sinar Harian