
KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan Red Warriors FC (KRW FC), Irfan Bakti Abu Salim, menolak pandangan sinis pihak tertentu yang meragui kemampuan pasukan tersebut untuk bersaing di arena bola sepak profesional.
Irfan yang baharu dilantik oleh pengurusan KRW FC menegaskan bahawa beliau tidak akan menyertai pasukan itu jika tidak yakin dengan potensi mereka untuk kembali ke zaman kegemilangan.
“Bagi saya, pandangan-pandangan itu mungkin datang daripada mereka yang fobia. Saya tak pernah melatih pasukan Kelantan sebelum ini, dan kalau tak yakin, saya tak akan balik ke sini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Jelajah Kelantan Red Warriors – The Next Hero di Padang Sintetik pada Jumaat.
Fokus Cari Pemain Berkualiti
Sebaik sahaja KRW FC ditubuhkan pada Disember tahun lalu, pelbagai pandangan prejudis timbul, termasuk dakwaan bahawa pasukan itu hanya mampu bersaing di Liga A1 Semi-Pro.
Namun, Irfan menghormati pandangan tersebut dan memilih untuk fokus pada pemilihan pemain berkualiti yang akan menjadi tunjang pasukan.
“Ketika ini, saya mencari pemain yang berbakat, bersungguh-sungguh, dan mampu bermain secara berpasukan. Pemain perlu cemerlang dari segi fizikal, ‘cerdik’, dan tidak ‘kedekut’ bola ketika beraksi,” jelas beliau.
Beliau turut mengingatkan peserta yang menyertai sesi pemilihan selama sebulan ini supaya memanfaatkan peluang dengan menonjolkan bakat mereka sepenuhnya.
“Jangan malu-malu, tunjukkan kemahiran yang ada. Saya akan pilih 24 hingga 26 pemain yang bukan sahaja boleh menjaringkan gol, tetapi juga bukan ‘penumpang’ dalam pasukan,” tegas Irfan.
KRW FC kini bersedia untuk membuktikan kemampuan mereka dan mengubah skeptisisme menjadi keyakinan, di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman seperti Irfan Bakti.