PUTATAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun terselamat dari insiden hampir lemas apabila sempat berpaut pada tong sebelum diselamatkan oleh orang awam di Pantai Gorongon, di sini, pada petang Isnin.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 5 petang itu menyaksikan mangsa dibawa arus ketika mandi bersama lima rakannya. Mangsa berjaya diselamatkan oleh empat lelaki dewasa yang berenang ke arahnya sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noorsherriyana Bohari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.13 petang dan segera mengerahkan 12 anggota ke lokasi, yang terletak empat kilometer dari balai.
“Ketika kejadian, mangsa bersama lima rakannya sedang mandi di pantai. Namun, mangsa dihanyutkan arus ke kawasan lebih dalam. Rakannya cuba menarik tangan mangsa tetapi gagal, lalu meminta bantuan orang awam di kawasan berhampiran.
“Empat lelaki dewasa segera berenang ke arah mangsa yang ketika itu sudah berada sejauh 50 meter dari pantai. Mangsa sempat berpaut pada tong sebelum dibawa naik ke pesisir pantai dengan selamat,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Pasukan bomba yang tiba di lokasi turut membuat pemeriksaan terhadap mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada jam 5.43 petang. -Sinarharian