Masih ada penjawat awam ragu-ragu tandatangan SSPA – CUEPACS

Adnan berkata kelompok berkenaan diharapkan segera menandatangani skim tersebut memandangkan ia tidak merugikan. - Gambar fail/Bernama
Adnan berkata kelompok berkenaan diharapkan segera menandatangani skim tersebut memandangkan ia tidak merugikan. – Gambar fail/Bernama

PORT DICKSON: Masih terdapat sebahagian kecil penjawat awam yang belum membuat keputusan untuk menandatangani Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang bakal berkuat kuasa mulai 1 Disember ini.

Presiden Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr. Adnan Mat, menggesa golongan tersebut supaya segera menandatangani skim berkenaan kerana ia menawarkan faedah yang lebih baik dan tidak merugikan mereka. CUEPACS juga akan terus memantau perkembangan ini bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.

Penjawat awam diberi tempoh opsyen selama 40 hari bermula 21 Oktober hingga 30 November untuk membuat pilihan sama ada beralih kepada SSPA atau kekal dengan skim saraan terdahulu, SSM.

“Masih ada yang ragu-ragu, tetapi prinsipnya mudah iaitu kenaikan gaji tanpa pengurangan sebarang faedah. Hanya mungkin terdapat sedikit perbezaan dalam kadar kenaikan gaji mengikut kumpulan tertentu, ada yang menerima kenaikan lebih, ada yang setara, dan ada yang kekal seperti biasa. Namun, yang paling penting ialah tiada sebarang pengurangan dalam faedah yang diterima,” kata Adnan ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia di sini, hari ini.

Beliau turut menekankan bahawa SSPA adalah satu langkah peningkatan berbanding SSM yang telah digunakan sejak tahun 2002. Sekiranya terdapat sebarang kelemahan dalam skim baru ini, CUEPACS akan terus berunding dengan kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk memperbaikinya.

Dalam pada itu, Adnan memohon kerajaan untuk mempertimbangkan penambahan sekurang-kurangnya 1,000 jawatan baharu bagi Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP) dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP). Ini bagi memastikan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] yang mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober dapat dijalankan dengan lebih komprehensif.

Baca Juga:

“Setakat ini, kita hanya mempunyai 5,000 penguat kuasa PKP dan PPKP di seluruh negara. Jumlah ini tidak mencukupi dan menyebabkan mereka terbeban dengan pelbagai tugasan sedia ada,” jelasnya.

Adnan berharap penambahan jawatan ini dapat membantu meningkatkan keberkesanan pelaksanaan akta berkenaan serta meringankan beban kerja penguat kuasa yang terlibat.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *