SHAH ALAM – Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Dr Nooh Gadut, menasihatkan agar mimpi bertemu Nabi Muhammad SAW tidak diuar-uarkan kepada umum atau disebarkan melalui media massa termasuk platform elektronik. Langkah ini, menurut beliau, dapat mengelakkan daripada sifat riak, ujub, dan takabbur.
Dr Nooh berkata, pendedahan mimpi seperti itu juga berisiko menimbulkan fitnah, kekeliruan, serta salah faham dalam kalangan masyarakat awam. Tambahan pula, mimpi tidak boleh dijadikan sumber pesanan atau arahan baharu yang bertentangan dengan akidah, syariah, dan akhlak Islam.
Beliau turut menjelaskan bahawa mimpi adalah pengalaman peribadi yang bersifat subjektif, tidak mutawatir dan tidak dapat disahkan secara qat’ie. Ini adalah antara 12 syarat yang digariskan dalam Muzakarah MKI mengenai takwilan mimpi.
Baca Juga:
Kenyataan ini dikeluarkan susulan tularnya video ucapan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang mendakwa Rasulullah SAW hadir di Rusila, Marang, Terengganu, dan memintanya mendamaikan perbalahan antara golongan Sunni dan Syiah. Kenyataan tersebut telah menimbulkan perdebatan di kalangan pimpinan politik dan wakil NGO.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, pada Isnin lalu meminta Dr Nooh untuk memberi penjelasan berkaitan isu mimpi bertemu Nabi Muhammad SAW kepada masyarakat.
Menurut Dr Nooh, umat Islam yang menerima anugerah mimpi ini harus menerimanya dengan ikhlas, semata-mata kerana Allah SWT. Beliau menegaskan bahawa rupa paras dan sifat fizikal Rasulullah SAW banyak disebut dalam hadis sahih dan kitab muktabar, dan mimpi seseorang harus bertepatan dengan ciri-ciri Rasulullah yang telah disebutkan.
Selain itu, Dr Nooh menambah bahawa tafsiran mimpi perlu berlandaskan sumber yang benar dan dipercayai, seperti kitab muktabar atau pandangan mereka yang berilmu dan wara’. Takwilan mimpi juga tidak boleh melanggar akidah, syariah, dan hukum Allah SWT, serta tidak membawa kepada perkara negatif seperti putus asa atau sikap yang melampau.