KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, yang telah berlangsung sejak 23 Ogos, dihentikan serta-merta pada Sabtu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, memaklumkan bahawa operasi SAR yang kini memasuki hari kesembilan, terpaksa dihentikan selepas mengambil kira pelbagai faktor keselamatan dan pandangan pakar.
“Setelah membuat laporan kepada Kabinet, kami membuat keputusan untuk menghentikan operasi ini berdasarkan pandangan pakar dari pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), serta Agensi Nuklear Malaysia,” jelasnya dalam sidang media yang diadakan di lokasi kejadian pada Sabtu.
Dr. Zaliha turut menegaskan bahawa terdapat beberapa alasan utama di sebalik keputusan ini, termasuk dapatan di lokasi kejadian dan risiko keselamatan yang dihadapi pasukan penyelamat.
“Pasukan JBPM telah memaklumkan penemuan objek dalam saluran pembetung IWK, namun objek tersebut tidak dapat disahkan sebagai mangsa. Kami tidak boleh meneruskan pencarian ini atas alasan keselamatan anggota yang berada di lokasi kejadian, serta risiko terhadap kesihatan mereka,” katanya.
Artikel Berkaitan:
- Operasi SAR Wanita India Terus Dijalankan pada Hari Keempat di Jalan Masjid India
- Polis Cari Saksi Insiden Tanah Jerlus di Jalan Masjid India
- IWK Laksana Pemecahan Serpihan Bagi Mencari Mangsa Tanah Jerlus
Beliau juga menyatakan bahawa keselamatan kawasan sekitar yang terjejas akibat mendapan tanah serta risiko kepada pengunjung Jalan Masjid India menjadi faktor tambahan dalam keputusan untuk menghentikan operasi SAR.
Untuk makluman, insiden yang berlaku pada 23 Ogos lalu melibatkan seorang wanita warga India, G. Vijaya Lakshmi, berusia 48 tahun. Pasukan JBPM Kuala Lumpur telah bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.22 pagi.
Sumber: Sinar Harian