Operasi Mencari Mangsa Tanah Jerlus di Jalan Masjid India Dihentikan

Dr. Zaliha Mustafa mengumumkan penghentian operasi SAR di Jalan Masjid India.
Dr. Zaliha Mustafa (tiga dari kiri) mengumumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang telah berlangsung selama sembilan hari sejak 23 Ogos dihentikan pada hari ini.

KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, yang telah berlangsung sejak 23 Ogos, dihentikan serta-merta pada Sabtu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, memaklumkan bahawa operasi SAR yang kini memasuki hari kesembilan, terpaksa dihentikan selepas mengambil kira pelbagai faktor keselamatan dan pandangan pakar.

Keadaan tanah jerlus di Jalan Masjid India yang mengakibatkan seorang mangsa wanita warga India terperangkap. Foto Bernama.

“Setelah membuat laporan kepada Kabinet, kami membuat keputusan untuk menghentikan operasi ini berdasarkan pandangan pakar dari pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), serta Agensi Nuklear Malaysia,” jelasnya dalam sidang media yang diadakan di lokasi kejadian pada Sabtu.

Dr. Zaliha turut menegaskan bahawa terdapat beberapa alasan utama di sebalik keputusan ini, termasuk dapatan di lokasi kejadian dan risiko keselamatan yang dihadapi pasukan penyelamat.

“Pasukan JBPM telah memaklumkan penemuan objek dalam saluran pembetung IWK, namun objek tersebut tidak dapat disahkan sebagai mangsa. Kami tidak boleh meneruskan pencarian ini atas alasan keselamatan anggota yang berada di lokasi kejadian, serta risiko terhadap kesihatan mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menyatakan bahawa keselamatan kawasan sekitar yang terjejas akibat mendapan tanah serta risiko kepada pengunjung Jalan Masjid India menjadi faktor tambahan dalam keputusan untuk menghentikan operasi SAR.

Untuk makluman, insiden yang berlaku pada 23 Ogos lalu melibatkan seorang wanita warga India, G. Vijaya Lakshmi, berusia 48 tahun. Pasukan JBPM Kuala Lumpur telah bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.22 pagi.

Sumber: Sinar Harian

zu150: