Pemegang Lesen B1, B2 Lama Dibenarkan Memohon Lesen B Penuh

Anthony Loke
Anthony Loke

Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 dengan pengalaman lebih daripada 10 tahun layak menyertai program khas untuk mendapatkan lesen B mulai 1 Oktober akan datang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menyatakan bahawa calon perlu memenuhi beberapa syarat termasuk menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian motosikal berkuasa 500cc ke atas di Institut Memandu (IM).

Beliau juga mengumumkan bahawa setiap pemohon akan dikenakan caj perkhidmatan sebanyak RM160 untuk menampung kos operasi yang terlibat.

“Calon perlu mengikuti program amali penunggangan, pengajaran keselamatan pemanduan dan pengurusan motosikal berkuasa tinggi selama dua jam.

“Dalam program ini, mereka perlu memperoleh pengesahan keupayaan mengendalikan motosikal berkuasa tinggi dari ‘Qualified Training Officer’ (QTO) di IM.

“Pengesahan ini penting untuk memastikan tahap kompetensi dan keupayaan individu dalam mengendalikan motosikal berkuasa tinggi bagi meningkatkan keselamatan pemanduan,” katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan peringkat Kementerian Pengangkutan pada Jumaat.

Baca juga : Ringgit Mula Kukuh Berbanding Dolar AS, Hampir Capai Paras Tertinggi dalam 11 Bulan

Loke turut menjelaskan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini sedang mempersiapkan program peralihan khas termasuk perubahan sistem dan penyelarasan dengan IM.

Program khas ini tidak mempunyai tempoh masa tamat dan akan diteruskan sehingga notis selanjutnya.

“Sementara itu, LMM kelas B1 akan digabungkan dengan kelas B berikutan permintaan yang rendah setiap tahun untuk lesen tersebut.

“Oleh itu, bermula 1 Oktober akan datang, tiada lagi program LMM kelas B1 di IM yang terbuka kepada orang ramai.

“Dengan mendapatkan LMM motosikal kelas B, individu layak memandu motosikal dengan semua kuasa cc tanpa had, tidak terhad kepada 499cc ke bawah seperti kelas B1.

“Bagi pemegang lesen B1 sedia ada, mereka akan kekal dalam kategori tersebut atau boleh mengikuti program khas untuk mendapatkan kelas B sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan,” tambahnya.

Sumber : sinarharian.com.my

https://staysundance.com

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *