Penerbangan Malaysia Airlines ke Incheon Berpatah Balik Kerana Isu Teknikal

Pesawat Malaysia Airlines di landasan dengan latar belakang langit malam.
Malaysia Airlines mengesahkan bahawa penerbangan dari KLIA ke Incheon, Korea Selatan, terpaksa berpatah balik akibat masalah teknikal berkaitan sistem hidraulik pesawat. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines (MAS) mengesahkan bahawa penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan, terpaksa berpatah balik awal pagi ini disebabkan oleh masalah teknikal berkaitan sistem hidraulik pesawat.

Dalam satu kenyataan pada hari Isnin, MAS memaklumkan bahawa penerbangan MH66 yang dijadualkan ke Incheon pada hari ini telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan kembali ke Kuala Lumpur selepas berlepas dan selamat mendarat di Terminal 1 KLIA pada jam 1.30 pagi.

“Semua penumpang telah disediakan penginapan di hotel, dan penerbangan tersebut dijadualkan semula sebagai MH66D, yang akan berlepas pada jam 8 malam ini. Penerbangan pulang MH67D juga telah dijadualkan semula dan akan berlepas pada jam 5.10 pagi (waktu tempatan) pada 3 September.

“Keselamatan dan kesejahteraan semua penumpang serta anak kapal tetap menjadi keutamaan kami,” kata MAS dalam kenyataan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud, memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima laporan awal berkenaan insiden tersebut daripada MAS.

“MAS telah mengemukakan laporan awal kepada CAAM, namun butiran terperinci mengenai kejadian ini masih menunggu hasil siasatan penuh.

“Kesemua anak kapal serta penumpang pesawat berkenaan berada dalam keadaan selamat,” ujar beliau ketika dihubungi Bernama pada hari Isnin.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, laporan media menyatakan bahawa sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dalam penerbangan dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan, dilaporkan berpatah balik awal pagi tadi.

Menurut laman Flightradar24, pesawat MH66 yang menggunakan pesawat Airbus A330-323 telah berlepas dari KLIA pada jam 12.01 tengah malam sebelum berpatah balik dan mendarat dengan selamat di KLIA beberapa jam kemudian.

Ini merupakan insiden kelima dalam tempoh kira-kira sebulan yang melibatkan penerbangan MAS terpaksa berpatah balik atau dilencongkan.

Sumber: Bernama

zu150: