SUNGAI BULOH: Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam meninggal dunia pada Isnin selepas rebah di Fakulti Perhotelan. Penuntut tersebut, yang mengikuti jurusan perhotelan, dikatakan rebah secara tiba-tiba sekitar jam 5 petang ketika berada di fakulti.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.13 malam. Menurutnya, penuntut lelaki berusia 20 tahun itu disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital UiTM Puncak Alam dan mayatnya telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
Beliau memaklumkan bahawa kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Sementara itu, satu tabung derma kilat telah dilancarkan oleh Bachelor in Office System Society (BOSS) UiTM Puncak Alam bagi membantu keluarga Allahyarham Muhammad Faiz Mohd Sazali. Tabung berkenaan dibuka selama tiga hari bermula semalam hingga esok.
-Sinarharian