Malay Trending – Pengaruh selebriti media sosial dalam dunia jualan online tidak dapat dinafikan. Produk yang dipromosikan secara langsung di platform seperti TikTok, Instagram, atau Shopee sering kali terjual habis dalam sekelip mata, lebih-lebih lagi jika melibatkan personaliti terkenal seperti Khairul Aming, seorang instafamous dalam bidang masakan dengan lebih 3.2 juta pengikut.
Namun, populariti sebegini juga menjadikan mereka sasaran sindiket penipuan yang licik, yang kini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta taktik “deepfake” bagi mengaut keuntungan haram. Khairul Aming baru-baru ini mendedahkan di media sosial bahawa beliau menjadi mangsa apabila wajah dan suaranya diubah suai untuk menjual kuali dengan harga murah.
Bukan sekadar perkakas dapur, tetapi wajah usahawan Sambal Nyet ini juga dipergunakan untuk jualan peranti jam pintar dan lain-lain produk, menjadikan situasi ini di luar kawalannya. Sebelum ini, wajahnya juga telah digunakan melalui perisian Photoshop, yang berpotensi menimbulkan fitnah dan kesan buruk kepada orang ramai.
Bukan hanya Khairul Aming, malah penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga menjadi mangsa. Dalam hantaran di Instagram, beliau mendedahkan menerima panggilan telefon dan WhatsApp video yang menggunakan taktik deepfake secara langsung, kononnya menawarkan cadar dengan harga murah.
Mengikut statistik yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini, kerugian yang direkodkan akibat penipuan dalam talian dari tahun 2022 hingga Jun 2024 telah mencecah RM2.65 bilion. Jumlah kerugian pada tahun 2024 sahaja adalah sebanyak RM581 juta, dengan peningkatan keseluruhan sebanyak 43.2% dari RM851 juta pada tahun 2022 kepada RM1.2 bilion pada tahun 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Parlimen, mendedahkan hampir 55,000 kes jenayah siber dengan nilai kerugian mencecah RM1.8 bilion dilaporkan dari tahun 2021 hingga Julai tahun ini.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menasihatkan orang ramai yang menjadi mangsa penipuan agar tampil membuat laporan. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, tidak menafikan perkembangan teknologi AI yang pesat boleh disalahgunakan.
Warga emas, khususnya, merupakan golongan yang mudah terpedaya dengan taktik deepfake ini, terutama jika ia melibatkan individu berpengaruh seperti ahli politik, ahli perniagaan, dan selebriti popular. Contoh kes penipuan jualan kuali oleh ‘Khairul Aming’ menunjukkan bagaimana golongan ini boleh menjadi mangsa, meskipun ahli keluarga mereka telah cuba memberi amaran.
Golongan ini juga sering menjadi sasaran dalam skim pelaburan yang menjanjikan imbuhan segera, tanpa menyedari bahawa mereka telah terlibat dalam kegiatan jenayah komersial selepas termakan umpan video palsu..
Baca Juga:
Conor Gallagher Ucap Selamat Tinggal kepada Chelsea Sebelum Sertai Atletico Madrid
Dengan perkembangan teknologi AI yang tidak terkawal, PDRM menjangkakan peningkatan kes jenayah siber dalam masa terdekat. Justeru, sudah tiba masanya untuk pindaan undang-undang sedia ada dilaksanakan bagi membanteras jenayah siber sebelum lebih ramai lagi menjadi mangsa.
Sumber: Sinar Harian