VIENNA – Pada tahun 2023, seorang wanita dilaporkan dibunuh setiap 10 minit oleh pasangan atau saudara sendiri, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Statistik ini didedahkan melalui laporan bersama Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) serta Agensi Wanita PBB.
Laporan tersebut mendedahkan hampir 85,000 wanita dan kanak-kanak perempuan menjadi mangsa pembunuhan pada tahun lalu, dengan 60 peratus daripadanya—bersamaan lebih 51,000 korban—dibunuh oleh individu terdekat mereka.
“Rumah masih menjadi tempat paling berbahaya bagi wanita dan kanak-kanak perempuan dari segi risiko penganiayaan maut,” menurut laporan itu.
Afrika mencatat jumlah korban tertinggi dengan 21,700 wanita dibunuh oleh individu rapat pada tahun 2023, manakala Eropah mempunyai angka terendah, iaitu 2,300 kes.
Pengarah Eksekutif UNODC, Ghada Waly, menyatakan bahawa ketidaksamaan jantina dan norma berbahaya menjadi faktor utama yang menyumbang kepada keganasan ini.
“Langkah-langkah seperti perintah sekatan dan penguatkuasaan undang-undang yang kukuh boleh membantu mencegah pembunuhan wanita, yang sering berlaku selepas episod keganasan berulang,” tambahnya.
Pengarah Eksekutif Wanita PBB, Sima Bahous, menegaskan perlunya pembiayaan yang lebih besar untuk organisasi hak wanita dan institusi berkaitan, selain pengumpulan data yang lebih baik bagi memahami corak keganasan ini.
Laporan ini melibatkan data daripada 107 negara dan diterbitkan bersempena Hari Antarabangsa untuk Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita.