POH – Polis sedang menyiasat taktik penipuan baharu melalui telefon yang menawarkan diskaun tidak wujud untuk pembayaran bil Tenaga Nasional Berhad (TNB). Sejak bulan Julai lalu, penipuan ini telah menyebabkan seorang akauntan berusia 62 tahun mengalami kerugian sebanyak RM164,903.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail, memaklumkan bahawa akauntan lelaki tersebut telah dihubungi melalui telefon oleh seorang lelaki yang menawarkan diskaun sebanyak 35 peratus untuk pembayaran bil TNB jika dibuat pada 8 Julai lalu.
“Suspek yang memperdaya mangsa, meminta mangsa untuk menghantar gambar salinan bil elektrik melalui telefon. Selepas itu, suspek menghantar gambar resit pembayaran kononnya sebagai bukti bahawa bayaran telah dilunaskan,” ujar Mohamad Nasir dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Nasir, mangsa yang percaya dengan tawaran tersebut telah menawarkan diskaun 10 peratus kepada pelanggan yang ingin membayar bil elektrik melalui dirinya. Dalam tempoh dari 8 Julai hingga 27 Ogos lepas, mangsa berjaya menarik 120 pelanggan untuk membuat pembayaran.
“Jumlah keseluruhan bayaran yang diterima mangsa daripada pelanggan adalah sekitar RM207,000. Setelah ditolak keuntungan 35 peratus, mangsa telah membuat 11 transaksi pemindahan wang ke lima akaun bank yang berbeza, melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM164,903,” katanya.
Namun, seorang pelanggan kemudiannya mengesahkan bahawa bil elektrik mereka masih tertunggak selepas membuat semakan dengan pihak TNB. Mangsa cuba menghubungi suspek tetapi gagal dan mula menyedari bahawa dia telah ditipu.
Baca Juga:
SPRM Siasat Sindiket Penyuludupan Warga Asing di KLIA, Pegawai JIM Dicari
Beliau menambah bahawa mangsa telah membuat laporan polis pada hari Isnin yang lalu, dan kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pakej pembayaran bil TNB yang tidak wujud, kerana ini adalah trend terbaru penipuan yang dilakukan oleh ‘scammer’,” tegas Mohamad Nasir.
Sumber: Bernama