KUALA LUMPUR – Nama Datuk Md Daud Che Ngah, 78, sinonim dengan dunia haji dan umrah sejak lima dekad lalu. Bermula pada tahun 1974, beliau kini menjadi ikon dalam bidang ini dengan sumbangan besar yang meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat Islam.
Dikenali ramai melalui raut wajahnya yang kerap muncul di kaca televisyen dan suaranya yang sering menghiasi corong radio pada era 1990-an, Ustaz Md Daud juga aktif menulis di akhbar, majalah, dan buku. Tulisan beliau sering berkisar tentang kisah-kisah nabi, ibadah haji dan umrah, serta promosi Lembaga Tabung Haji (TH).
Selepas bersara dari TH pada tahun 1998, beliau terus aktif sebagai pembimbing jemaah umrah dan haji melalui syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) yang diasaskannya. Hingga kini, beliau berjaya melahirkan 246 mutawif melalui Akademi Mutawif yang ditubuhkan untuk melatih generasi baru pembimbing jemaah.
Sumbangan dan Kejayaan
Antara sumbangan terbesarnya ialah menghasilkan buku panduan haji dan umrah yang menjadi rujukan ramai. Hingga kini, beliau telah menulis 12 buku dan ratusan artikel berkaitan haji dan umrah.
“Saya tidak mahu meninggal dunia tanpa meninggalkan sesuatu yang boleh diwarisi oleh anak, cucu, dan cicit saya,” katanya.
Di bawah kepimpinannya, Andalusia kini mempunyai 57 cawangan di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak, serta lebih 1,600 ejen aktif dan 300 kakitangan. Baru-baru ini, syarikat itu menerima dua Anugerah Jenama Tahunan BrandLaureate 2024 daripada The World Brands Foundation.
Legasi yang Kekal Abadi
Walaupun tidak lagi kerap ke Tanah Suci seperti ketika zaman mudanya, Ustaz Md Daud masih memainkan peranan penting dalam membimbing jemaah. Dengan purata 53,000 hingga 56,000 jemaah dibawa setiap tahun, Andalusia terus menjadi peneraju dalam perkhidmatan haji dan umrah.
“Dalam usia sebegini, saya hanya mampu ke Tanah Suci dua hingga tiga kali setahun. Namun, saya lega kerana mutawif muda kini mengambil alih tugas membawa jemaah,” katanya.
Sebagai seorang guru agama, perawi kisah nabi, dan ikon dalam perkhidmatan haji dan umrah, legasi Ustaz Md Daud akan terus dikenang sebagai inspirasi kepada generasi akan datang. -SinarHarian