Berang Dituduh Ada Kekasih Gelap, Suami Belasah Isteri di Saujana Putra

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi memberikan kenyataan mengenai kes suami belasah isteri di Saujana Putra.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi memberikan kenyataan mengenai kes suami belasah isteri di Saujana Putra.

KUALA LANGAT – Seorang lelaki bertindak di luar kawalan dengan membelasah isterinya selepas dituduh mempunyai kekasih gelap dalam satu kejadian di kawasan perumahan Saujana Putra, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, laporan berhubung insiden tersebut dibuat oleh mangsa, seorang wanita tempatan berusia sekitar 30-an, pada jam 2 petang.

Menurut siasatan, kejadian berpunca daripada perselisihan faham apabila suspek didakwa mempunyai perempuan simpanan.

“Suspek yang berang dengan tuduhan itu bertindak memukul mangsa di bahagian badan sehingga menyebabkan kecederaan. Pemeriksaan perubatan mengesahkan terdapat kecederaan tisu pada beberapa bahagian badan mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Suspek Ditahan dan Disiasat
Susulan laporan tersebut, pihak polis telah menahan suspek, seorang lelaki tempatan berusia 30-an, untuk siasatan lanjut.

“Keterangan suspek telah direkodkan sebelum dia dibebaskan dengan jaminan polis. Kertas siasatan kini sedang dilengkapkan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan seterusnya,” jelas Mohd Akmalrizal.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *