
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat lagi pegawai bank pada Jumaat berhubung sindiket pinjaman yang melibatkan mangsa dalam kalangan penjawat awam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan bahawa penahanan empat pegawai bank tersebut merupakan perkembangan terbaharu dalam siasatan kes ini.
“Susulan penahanan ini, SPRM akan membuat permohonan reman pada Sabtu. Sebelum ini, seramai 12 individu telah direman selama lima hari, namun tujuh daripada mereka akan dilepaskan hari ini,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa lima lagi suspek akan dimohon untuk disambung reman bagi membantu siasatan lanjut.
Sebelum ini, SPRM membongkar sindiket pinjaman yang melibatkan golongan profesional dalam pengurusan kewangan. Sindiket tersebut didapati meluluskan pinjaman berjumlah RM700 juta kepada penjawat awam, dengan modus operandi yang dipercayai melibatkan unsur rasuah dan pengubahan wang haram.
Penahanan awal 12 individu, termasuk dua wanita berusia antara 20 hingga 40-an, dilakukan menerusi serbuan Op Sky di 24 lokasi sekitar Lembah Klang, termasuk rumah dan pejabat.
Kes ini turut membabitkan syarikat perunding kewangan serta institusi kewangan yang dipercayai bersekongkol dalam kegiatan haram tersebut.