
PUTRAJAYA – Enam individu, termasuk pegawai dan bekas pegawai institusi perbankan, ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu atas dakwaan menerima rasuah berkaitan pinjaman peribadi.
Menurut sumber, mereka yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 40-an, direman selama lima hari sehingga Isnin selepas perintah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.
“Suspek ditahan antara jam 3 hingga 4 petang Rabu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM berhubung siasatan Op Sky,” kata sumber.
Mereka dipercayai menerima rasuah daripada sebuah syarikat perunding kewangan yang menyediakan dokumen mengandungi maklumat palsu bagi pelanggan yang ingin membuat pinjaman peribadi.
Disiasat Di Bawah Akta SPRM 2009
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.
Beliau turut menyatakan bahawa seramai 19 individu yang sebelum ini ditahan reman berkaitan kes sama telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.