Ketua Menteri Sabah Kecam Ucapan ‘Palui’ Oleh Pemimpin Semenanjung

Hajiji (tiga dari kanan) pada Program Jelajah Sayangi Sabah Zon 6 di Dataran Keningau.
Hajiji (tiga dari kanan) pada Program Jelajah Sayangi Sabah Zon 6 di Dataran Keningau.

KENINGAU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor, mengecam tindakan seorang pemimpin politik dari Semenanjung yang menggunakan istilah ‘palui’ (bodoh) semasa berceramah politik di negeri ini.

Menurut Hajiji, ucapan seperti itu dianggap satu penghinaan terhadap pemimpin dan rakyat Sabah yang mengamalkan budaya politik harmoni dan sopan.

“Banyak pemimpin dari Semenanjung datang ke Sabah. Saya pesan, kalau datang ke sini, mesti sopan santun. Jangan bawa perangai kasar dari sana ke negeri kita yang harmoni dan aman damai ini. Saya mahu beritahu Hamzah Zainudin, jangan hina orang Sabah dan pemimpin di sini,” katanya semasa Program Jelajah Sayangi Sabah Zon 6 di Dataran Keningau, Khamis lalu.

Hajiji merujuk kepada ucapan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang didakwa menyebut pemimpin dan rakyat Sabah sebagai ‘palui’ dalam sebuah program di Sepanggar baru-baru ini.

“Sabah Tidak Perlukan Pemimpin Kasar”
Hajiji menegaskan bahawa Sabah tidak memerlukan pemimpin yang membawa budaya politik kasar dari Semenanjung.

“Kita meraikan demokrasi, tetapi budaya politik di Sabah berbeza. Kalau di Semenanjung ada budaya maki hamun, biarlah mereka di sana. Jangan bawa budaya itu ke Sabah,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Sabah yang berbilang etnik, agama, dan keturunan untuk terus bersatu menjaga keharmonian negeri ini dan menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada lapan parti tempatan demi kebaikan bersama.

“Marilah kita bersatu hati dan sokong GRS demi memastikan keharmonian dan pembangunan negeri Sabah,” tambahnya.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *