
SHAH ALAM – Pas menggesa Kerajaan Madani untuk mengkaji semula pelaksanaan semakan cukai eksais bagi nilai pasaran terbuka terhadap kereta pemasangan tempatan (CKD), yang dijangka meningkatkan harga kereta sebanyak 10 hingga 30 peratus menjelang 2026.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas, Khairil Nizam Khirudin, menyatakan kebimbangan terhadap impak kenaikan harga tersebut kepada pengguna dan industri automotif tempatan.
“Pelaksanaan ini berpotensi menjejaskan daya tahan syarikat automotif tempatan, khususnya yang terlibat dalam pemasangan kereta CKD. Selain itu, ia juga boleh merencatkan pelaburan yang diperlukan untuk menjadikan Malaysia pusat pengeluaran automotif yang kompetitif di ASEAN,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Gesaan Penangguhan dan Kebajikan Rakyat
Pas turut mendesak Kerajaan Madani menimbang semula kaedah duti eksais baharu yang diumumkan melalui Warta Kerajaan – Kastam P.U (A) 402/2019, kerana langkah tersebut berpotensi membebankan rakyat dan menjejaskan daya beli pengguna.
Khairil Nizam menambah, “Kerajaan perlu memastikan sebarang perubahan dalam polisi fiskal tidak memberi kesan negatif kepada rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang kini terhimpit dengan peningkatan kos sara hidup.”
Beliau juga mengkritik kenaikan cukai seperti SST, cukai digital, dan penyelarasan subsidi diesel, yang menurutnya, telah membebankan rakyat.