Sembilan Sampel Limau Mandarin Dilupuskan, KKM Tegas Pantau Keselamatan Makanan

Pegawai KKM sedang melakukan pemeriksaan terhadap konsainan limau mandarin di pintu masuk negara.
Pegawai KKM sedang melakukan pemeriksaan terhadap konsainan limau mandarin di pintu masuk negara.

PUTRAJAYA – Sebanyak sembilan daripada 243 sampel limau mandarin dilupuskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas didapati melanggar kadar maksimum residu racun perosak seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM 1985).

Menurut kenyataan KKM, pengimport yang terlibat dalam pelanggaran tersebut akan dikenakan pemeriksaan tahap 5, iaitu prosedur tahan, uji, dan lepas untuk setiap kemasukan berikutnya.

“Konsainan makanan akan ditahan bagi tujuan pensampelan, dan kelulusan pelepasan hanya akan diberikan sekiranya keputusan analisa mematuhi standard yang ditetapkan,” jelas kenyataan itu pada Jumaat.

Pemantauan Ketat Sempena Musim Perayaan

Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah melaksanakan pemantauan khas terhadap limau mandarin yang diimport sempena musim perayaan bermula November 2024.
Langkah ini bertujuan memastikan semua limau mandarin yang memasuki Malaysia mematuhi standard di bawah PPM 1985 dan Akta Makanan 1983.

“PKKM mengingatkan semua pengimport makanan bertanggungjawab untuk memastikan makanan yang diimport mematuhi PPM 1985,” tambah kenyataan itu.

Jaminan Keselamatan Pengguna

KKM menegaskan bahawa pemantauan berterusan dilakukan di semua 70 pintu masuk negara dan pasaran tempatan untuk memastikan keselamatan makanan terjamin.

“Langkah ini diambil demi melindungi pengguna dan memastikan produk yang berada di pasaran adalah selamat untuk dimakan,” jelas KKM.

Pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan atau menyaksikan insiden keselamatan makanan boleh menghubungi pejabat kesihatan daerah atau jabatan kesihatan negeri terdekat. Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman sesawang Sistem Maklumat Keselamatan Makanan (FOSIM).

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *