
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru umat Islam di Selangor agar menunaikan zakat pendapatan melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi memastikan kebajikan asnaf di negeri ini terus terjaga.
Baginda bertitah, zakat pendapatan perlu dilaksanakan di tempat individu berkhidmat dan mencari rezeki.
**“Sekiranya zakat yang dikutip di Selangor diagihkan ke negeri lain, beta bimbang lebih 79,000 keluarga asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan LZS akan dinafikan hak mereka tanpa kita sedari.
“Zakat adalah ibadah yang bukan sekadar individu tetapi satu sistem sosial untuk menjaga hak manusia, melindungi maruah, dan menegakkan maqasid syariah,”** titah baginda ketika merasmikan Menara Zakat Sultan Idris Shah di Shah Alam pada Khamis.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haris Kasim.
Teguran Terhadap LZS
Baginda turut mengingatkan LZS agar memastikan agihan zakat disalurkan kepada golongan asnaf sebenar dengan penuh integriti.
“Tindakan tegas mesti diambil terhadap mana-mana pihak yang menyeleweng atau tidak amanah. Mereka yang terlibat perlu diheret ke mahkamah untuk diadili,” titah Sultan Sharafuddin.
Baginda juga menegaskan keperluan LZS untuk tidak berasa terlalu selesa, sebaliknya terus memperbaiki aspek tadbir urus dan menerapkan pengurusan korporat yang cekap.
Inspirasi Kepada Negara Luar
Sultan Sharafuddin turut berbangga dengan inovasi pengurusan zakat di Selangor yang menjadi rujukan negara-negara lain seperti Indonesia dan Thailand.
“Namun, beta mahu LZS terus menambah baik pengurusan agar selaras dengan piawaian syariah dan memenuhi keperluan masa depan,” titah baginda.